Saturday 28 September 2013

Langit terbentang luas maka tersenyumlah...



Kita di bawah langit yang sama. Menghirup udara yang serupa. Bezanya setiap daripada kita tertulis takdir yang hanya Allah Maha Mengetahui.

Alhamdulillah. Syukur. Hari ini seperti ada semangat baru. Azam dan rancangan yang bakal dilaksanakan. Berjuang demi memberi nilai tambah dalam hidup. Tiada daya mahu mengeluh semua perkara. Ikutkan rasa binasalah. Merosak hati saja. 

Hari ini sunyi tanpa suami. Beliau ke outstation mencari barang untuk jualan online. Beginilah rentak kami sekarang, cuba mencari peluang semampu boleh. Rezeki Allah Maha Kaya. Kita tidak akan tahu apa yang kita akan terima. Kami hanya berserah. Sekadar perlu dan cukup, sementara keluarga kami baru berempat dan juga tanggungjawab terhadap keluarga masing-masing.

Secara kiraan kasar bulan ini saya lihat rezeki Allah untuk seorang surirumah seperti saya sama seperti pendapatan saya bekerja dulu. Bezanya saya di rumah masih mengurus anak-anak dan keluarga. Tidak lagi dibawah terik matahari atau keluar bersama kru penggambaran saya. Biasanya saya akan mengurus produksi untuk rancangan terbitan saya sendiri. Syukur. Asbab membantu ibu-ibu mendapatkan bahan pendidikan awal dan permainan untuk anak-anak. Ia seperti hadiah yang terbungkus indah. Terima kasih kerana mempercayai seorang surirumah bekerja seperti saya dan membeli dari kedai saya. Seperti anda, kami juga serba serbi ingin belajar menjadi ibu bapa hebat dan bertanggungjawab terhadap pendidikan mereka. Atas naluri ini lahirlah SuperHappyStore. Ia adalah perniagaaan keluarga kami. 

Bahagia rasanya. Anak-anak di depan mata. Bergomol-gomol, bermain, meronta, melompat atau menjadi kuda-kuda. Aktiviti yang memenatkan kan? Hahaha...Oh, alangkah syukurnya, inilah nikmat yang saya terima. Allah Maha Mendengar bisikan kecil saya ini. Semoga saya sentiasa bersyukur dan menghargai apa yang telah saya lalui. 

Rezeki ini Rahsia Allah SWT. Kadang-kala kita tidak tahu datangnya bagaimana. Apakah bentuknya. Sungguh. Anak-anak juga rezeki. Sihat juga rezeki. Bila kita diuji juga satu pengampunan buat saya yang terlalu berdosa ini. Itu juga rezeki supaya hati saya bersih. Tak perlu melatah melihat itu dan ini yang bukan kehendak diri dan kepuasan sendiri. Benar, kawan...percayalah. Jangan melatah jika apa yang terjadi dalam kehidupan ini begitu besar dugaannya. Cucilah hati bersihkan 'harta'. Sedekah. Biar sedikit tapi Istiqamah. Dan paling penting sediakan setiap masa DOA untuk IBUBAPA.

InsyaAllah ada sesuatu yang tersembunyi akan tampil ke muka pintu. Maka tersenyumlah. Jika melangkah keluar rumah hari ini maka senyumlah. Senyum itu juga sedekah bagi siapa melihatnya. Doa untukmu juga akan disampaikan bersama-sama kepada Pencipta. Dan kebaikan telah tersebar luas, di bawah langit yang sama.

No comments:

Post a Comment